GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Penutupan sekolah serta-merta selama tujuh hari sekiranya terdapat sekurang-kurangnya dua orang positif Covid-19.

Itu keputusan diambil Kerajaan Negeri Sabah dalam menetapkan tatacara penutupan sekolah sekiranya berlaku penularan jangkitan Covid-19 membabitkan institusi pendidikan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan itu dilaksanakan berikutan jumlah kluster pendidikan meningkat secara mendadak, baru-baru ini.

"Berdasarkan kepada situasi semasa di Sabah, terdapat beberapa tindakan diputuskan melalui Mesyuarat Pengurusan Bencana Negeri Sabah Covid-19 untuk dilaksanakan segera.

"Antaranya ialah penutupan sekolah serta-merta selama tujuh hari sekiranya terdapat sekurang-kurangnya dua orang positif Covid-19 yang membabitkan satu penularan dalaman.

"Ia mesti disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam kalangan pelajar, guru atau kakitangan sekolah yang terbabit.

"Selain itu, hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama sahaja dibenarkan pulang ke asrama (asrama penuh atau harian) bagi meneruskan sesi pembelajaran pada 7 Februari," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 9:49 PM