Zalina ketika melakukan pemantauan di sebuah pasar raya di Taman Patani Jaya, Sungai Petani hari ini. Foto Izad Thaqif Hassan
Zalina ketika melakukan pemantauan di sebuah pasar raya di Taman Patani Jaya, Sungai Petani hari ini. Foto Izad Thaqif Hassan
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga minyak masak peket satu kilogram setakat ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah Zalina Aziz berkata, harga minyak masak peket ditetapkan RM2.50 sebungkus dan peniaga perlu mematuhinya dengan tidak menjual dengan harga tinggi.

"Jika ada yang menjual dengan harga lebih tinggi daripada harga kawalan orang ramai boleh membuat aduan kepada kami.

"Selain itu, peniaga juga tidak dibenarkan meletak syarat pembelian kepada pengguna yang ingin membeli minyak masak peket satu kilogram dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya mereka berbuat demikian," katanya ketika memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 di Econsave Taman Patani Jaya di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini seramai 20 pembekal yang dibenarkan mengedar minyak masak di negeri ini dan kuota itu masih kekal tanpa sebarang pemotongan.

Mengulas mengenai kekurangan stok bekalan itu, beliau berkata, beberapa isu menjadi faktor berlakunya situasi itu antaranya membabitkan pusingan daripada pembekal.

"Sebagai contoh di Kedah ini, pembekal menghantar stok minyak ke kedai runcit seminggu sekali dan disebabkan permintaan tinggi pengguna ia menyebabkan bekalan habis sehingga terpaksa menunggu minggu berikutnya.

"Selian itu, kita juga ada menerima maklumat yang peruncit sendiri gagal melunaskan bayaran sehingga ia menjejaskan pembekalan seterusnya daripada pembekal," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 83 kes dikesan membabitkan kesalahan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 menerusi Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia bagi Negeri Kedah bermula 1 Januari lalu hingga semalam.

"Sebanyak RM9,700 kompaun dicatatkan daripada 83 kes dan ia membabitkan nilai sitaan berjumlah RM9,893.60,"katanya.

Menurutnya, pemantauan akan diteruskan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 yang berkuat kuasa semalam hingga 4 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 9:58 PM