Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kekurangan bekalan minyak masak peket dijangka pulih dalam masa terdekat selepas agihan sebanyak 60,000 tan metrik dilakukan kepada syarikat pembekal dan pembungkus.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, syarikat pembekal dan pembungkus akan menerima kuota sebanyak itu pada hari pertama dan kedua setiap awal bulan sebelum memulakan pembungkusan minyak masak bersubsidi itu.

"Harga kuota yang masih ditanggung kerajaan sebanyak RM2.50 sepeket untuk setiap satu kilogram.

"Sebenarnya kekurangan bekalan ini bukan disebabkan pembelian panik, tetapi permintaannya sangat tinggi," katanya pada sidang media ketika mengadakan pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum pemeriksaan di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya melakukan 1,873 pemeriksaan semalam di seluruh negara membabitkan harga ayam, telur dan minyak masak.

Beliau berkata, hanya ada 13 kesalahan direkodkan tetapi ia tidak membabitkan penjualan bahan mentah itu melebihi harga kawalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 3:02 PM
Azman (tengah) melakukan pemantauan sempena Pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam di Pasar Besar Alor Setar. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Azman (tengah) melakukan pemantauan sempena Pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam di Pasar Besar Alor Setar. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR