GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Polis menahan empat individu termasuk sepasang kekasih yang disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar ibu negara dalam tangkapan berasingan di ibu negara, bermula semalam.

Tangkapan suspek pertama membabitkan lelaki tempatan berusia 27 tahun di tempat parkir sebuah pusat membeli belah di Cheras pada jam 9.25 malam, semalam.

Menerusi tangkapan itu, polis turut berjaya merampas dadah jenis menthamphetamine seberat 1.05 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM36,000 yang ditemui dalam kereta milik suspek.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata hasil soal siasat ke atas lelaki itu, polis menahan dua lagi suspek terdiri dua wanita berusia 20 dan 25 tahun di pintu masuk pusat beli belah berkenaan pada 9.40 malam.

"Pada jam 1 pagi tadi, dengan dipandu arah suspek pertama, pasukan serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Cheras menahan suspek keempat berusia 24 tahun di Batu 2 Cheras.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek kedua, ketiga dan keempat, kita tidak menemui sebarang barang salah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek pertama adalah kekasih kepada suspek kedua, manakala suspek keempat adalah abang kandung kepada suspek kedua dan sudah berkahwin.

"Suspek pertama bekerja sebagai peladang, suspek kedua berniaga baju manakala suspek ketiga penganggur. Suspek keempat pula seorang penjawat awam yang kini dalam tempoh tahan kerja.

"Keempat-empat suspek berasal dari negeri yang sama di utara dan menyewa sebuah apartmen mewah di pusat bandar sementara pengedaran dadah dibuat di sekitar ibu negara," katanya.

Siasatan turut mendapati kesemua suspek bergerak di sekeliling pusat bandar dengan menggunakan satu kenderaan yang ditahan bersama suspek pertama.

"Semakan mendapati suspek keempat mempunyai dua rekod jenayah narkotik dan hasil ujian saringan awal urin, kesemua suspek didapati negatif sebarang jenis dadah.

"Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mendapatkan maklumat punca bekalan dan pembabitan pengedaran yang dijalankan," katanya.

Keempat-empat suspek direman enam hari sehingga 31 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 11:14 PM