GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Hampir 100 peratus mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sudah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini Jawatankuasa Khas Pascabanjir sedang menangani beberapa isu timbul susulan ada tuntutan bantuan banjir yang tidak selaras dan dikesan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

"Ada beberapa isu timbul berhubung BWI apabila kita mengumumkan mereka yang tidak berpindah tetapi terkesan banjir, boleh diberikan bantuan itu. Ramai yang memohon dan agak meragukan.

"Ada yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi ke rumah saudara-mara. Mereka turut menuntut walaupun tiada kerosakan dan sebagainya," katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, ada mangsa yang menuntut bantuan peralatan barangan rosak sehingga RM2,500 walaupun didapati tiada barang rosak.

"Misalnya di Selangor, ada yang tinggal di rumah pangsa, hanya tingkat satu ditenggelami banjir tetapi mereka yang di tingkat lima turut membuat tuntutan.

"Oleh itu, ada kelewatan mengagihkan bantuan ini untuk kita mengesahkan tuntutan berkenaan. Alhamdulillah, isu banjir ini selesai dan masalah yang dibangkitkan diuruskan dengan baik," katanya.

Katanya, sehubungan itu kelewatan pemberian BWI akan diselesaikan selepas isu berkaitan dapat diuruskan.

"Antara isu terbabit ialah ada yang menuntut BWI walaupun tidak layak, manakala bantuan pembelian peralatan elektrik untuk mangsa banjir turut dituntut oleh mereka tidak terkesan secara langsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 12:37 PM