Sebahagian kedai sekitar jalan Bangsar terjejas berikutan daripada perhimpunan mendesak Ketua Pengarah SPRM letak Jawatan, Azam Baki. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Sebahagian kedai sekitar jalan Bangsar terjejas berikutan daripada perhimpunan mendesak Ketua Pengarah SPRM letak Jawatan, Azam Baki. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar di sini, hari ini, menyebabkan banyak perniagaan di sepanjang Jalan Bangsar terjejas.

Pengusaha bengkel motosikal dikenali sebagai Lee, 50-an, berkata, bengkelnya terpaksa dibuka lewat jam 12 tengah hari berbanding jam 10 pagi pada kebiasaannya.

"Saya terpaksa buka bengkel lewat hari ini kerana laluan masuk ke jalan ini ditutup akibat perhimpunan itu.

"Perkara ini (perhimpunan terbabit) menyebabkan tiada orang datang ke kawasan ini dan sekali gus mengganggu perniagaan kami," katanya ditemui.

Pemandu teksi, Balbil Bhunda, 57, berkata, pendapatannya terjejas susulan lencongan di Jalan Bangsar yang bermula jam 7 pagi tadi.

"Sebenarnya, apabila membaca berita mengenai penutupan serta lencongan jalan ekoran perhimpunan ini, saya sudah menjangkakan tidak akan ada pelanggan.

"Kebiasaannya saya akan bergerak di sekitar kawasan pusat beli belah Midvalley tetapi disebabkan lencongan jalan ini, teksi saya tidak bergerak kerana tiada pelanggan.

"Sepatutnya penganjuran perhimpunan itu diadakan di tempat terbuka tanpa mengganggu lalu lintas di kawasan awam," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, beberapa laluan menuju ke Jalan Bangsar dilencongkan susulan penganjuran perhimpunan terbabit yang ditukar ke lokasi berkenaan malam tadi.

Lencongan jalan itu membabitkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.

Ia bermula jam 7 pagi tadi hingga perhimpunan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 3:05 PM