ISMAIL Sabri  menyampaikan ucapan semasa Majlis Pelancaran Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia malam ini. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri menyampaikan ucapan semasa Majlis Pelancaran Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia malam ini. FOTO Bernama.
Suraya Roslan


Putrajaya: Perdana Menteri mengesahkan tiada perbincangan berhubung keperluan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam jemaah kabinetnya.

Sebaliknya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu hanya boleh diputuskan oleh kerajaan negeri dan Sultan Johor.

"Kita tiada bincang langsung, kabinet nothing to do with that (kabinet langsung tiada kena mengena).

"Kita serah kepada kerajaan Johor, mereka menentukan.

"Kalau Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) rasa ada perlu pilihan raya, maka beliau menghadap Sultan (Sultan Ibrahim Iskandar) dan keputusan itu sepenuhnya bidang kuasa kerajaan Johor," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Ditanya adakah Umno turut membincangkan mengenai perkara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti itu berkata, pihaknya menyerahkan keputusan itu kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Johor yang juga Menteri Besar.

"Umno pun waktu meeting (mesyuarat) tempoh hari pun serahkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Johor yang juga Menteri Besar," katanya.

Ketika ini tular kononnya PRN Johor boleh diadakan berdasarkan situasi terkini penularan Covid-19 dan akan diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina,

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), manakala Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 10:38 PM