Hamzah Zainudin ketika mengadakan lawatan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat, hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Hamzah Zainudin ketika mengadakan lawatan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat, hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Segamat: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang untuk membeli aset baharu seperti helikopter dan bot bagi menambah keperluan semasa dan menampung penggunaan ketika musim banjir akan datang.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia juga kerana aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia ada yang agak ketinggalan dari segi teknologi.

"Banyak aset kita apabila dalam keadaan mahu membantu (banjir) ini baru kita sedar ia sudah agak lama seperti bot yang digunakan selama ini sudah usang.

"Helikopter yang kita (PDRM) ada juga agak lama yang mana tiada teknologi terbaharu yang canggih... sebab itu kita fikirkan perlu untuk mencari aset lebih sesuai," katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Segamat Superintendan Bahrin Mohd Noh.

Hamzah berkata, cadangan pembelian aset itu sudah dibincangkan bersama Acryl Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM 250,000 bagi kerja membaik pulih Galeri Darurat Bukit Kepong, Muar yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini.

"Atas sifat prihatin KDN, saya telah bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan bagi baik pulih kawasan galeri bersejarah ini meskipun semua artifak dapat diselamatkan," katanya.

Galeri Darurat Bukit Kepong sebelum ini pernah dibaik pulih dengan reka bentuk lebih tinggi, mengambil kira bencana yang berlaku pada 2011.

Bagaimanapun, banjir lalu menyebabkan galeri berkenaan ditenggelami air sehingga 2.5 meter sekali gus terburuk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 2:45 PM