AMINUDDIN Harun
AMINUDDIN Harun
Mohd Amin Jalil

Kuala Pilah: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak swasta bagi menyegerakan pelaksanaan kerja membersih dan mendalamkan sungai sebagai langkah mengatasi masalah banjir kilat di negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan berkaitan perkara berkenaan akan dibincang dan diperincikan dalam mesyuarat di peringkat jawatankuasa khas pada minggu hadapan.

"Setakat ini, terdapat 10 kawasan yang sudah dikenal pasti di sekitar negeri ini untuk dilaksanakan pengambilan pasir atau kerja mendalamkan sungai supaya tidak berlaku banjir.

"Kita (kerajaan negeri) hendak supaya ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera sekali gus menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa kawasan terutama di Seremban dan daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Pejabat Pentadbiran Daerah Kuala Pilah di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat dan ribut, hampir 300 rumah penduduk dikenal pasti terjejas dalam banjir kilat berkenaan.

Semalam, sembilan lokasi di sekitar Seremban turut dilanda banjir kilat yang menjejaskan 462 kediaman antaranya Kampung Semarak, Kampung Ismail, Kampung Pasir, Kampung Batu 3 Mambau, Taman Happy, Kampung Dato Mansor, Blok B dan C, Taman Siew Joo dan Taman Dusun Nyior.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin memberi peringatan kepada ibu bapa dan pihak sekolah supaya menangani isu buli membabitkan pelajar dengan sebaiknya kerana negara itu mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata, pihaknya akui isu berkenaan bukan perkara baharu sebaliknya sudah banyak kali berlaku terutama membabitkan sekolah berasrama.

"Saya berharap apa juga tindakan yang dikenakan perlu ambil kira semua aspek supaya tidak keruhkan lagi situasi berkenaan," katanya.

Isnin lalu, media melaporkan empat pelajar lelaki di sebuah sekolah di Seremban mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar tingkatan satu sekolah sama pada 13 Mei lalu.

Kesemua tertuduh berusia 15 hingga 16 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk pendengaran laporan akhlak, bagi kesemua tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 3:30 PM