Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Penganjur pertandingan tarian singa sempena Tahun Baru Cina di sebuah pusat beli-belah di Puchong di sini, semalam dikompaun sebanyak RM1,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, pihaknya mengesan satu video memaparkan orang ramai berkumpul menyaksikan pertandingan itu selepas ia tular di Facebook, semalam.

"Video itu memaparkan orang ramai berkumpul dan menyaksikan pertandingan berkenaan dalam keadaan tiada penjarakan fizikal.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Puchong membuat pemantauan di lokasi berkenaan pada 7.30 malam dan mendapati ramai pengunjung berkumpul tanpa penjarakan fizikal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, semakan dilakukan mendapati pihak penganjur mempunyai surat kelulusan permit sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menganjurkan pertandingan berkenaan.

"Kami mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada penganjur atas kesalahan melanggar SOP.

"Tindakan diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Pengawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi SOP ditetapkan dalam mengadakan sebarang aktiviti mahupun berhimpun bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 10:20 PM