Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang berusaha menstabilkan harga sayur susulan petani yang terjejas banjir dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memulakan penanaman.

Pengerusi Fama, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), pihaknya aka memastikan harga sayur kembali stabil.

"Tinjauan di lokasi banjir baru-baru ini mendapati harga barang makanan termasuk sayur sedikit tinggi kerana ada petani yang terjejas dengan bencana alam itu serta kekangan pelaksanaan PKP baru-baru ini.

"Dalam pada itu, kita juga mendengar terdapat masalah pengangkutan dari luar negara yang menyukarkan barangan tiba ke negara ini," katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Kompleks Pengedaran Fama di Padang Lalang di sini, hari ini.

Mohd Fasiah berkata, petani kini memulakan tanaman yang mana jika semua dapat diatasi, termasuk isu pengangkutan dari luar negara maka harga barang termasuk sayur akan kembali stabil.

"Kita yakin harga akan kembali stabil dan turun beberapa bulan lagi kerana usaha sedang giat dijalankan," katanya.

FASIAH (tengah) ketika meninjau Pusat Operasi FAMA, Jalan Padang Lalang. FOTO Danial Saad
FASIAH (tengah) ketika meninjau Pusat Operasi FAMA, Jalan Padang Lalang. FOTO Danial Saad

Sementara itu, Mohd Fasiah berkata, Fama melalui anak syarikatnya, Fama Corporation Sdn Bhd (FAMACorp) memperluaskan lagi perniagaan dengan meneroka cabang perniagaan yang lebih mencabar pada tahun ini.

Menurutnya, ia termasuk memanfaatkan sepenuhnya ruang yang terdapat di kompleks pengedaran di sini dengan mewujudkan kemudahan bilik sejuk serta Pusat Teknologi Pembungkusan Retort melalui peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

"Dengan adanya kemudahan ini, ia dapat membantu usahawan tempatan yang mempunyai akses pasaran eksport selain meningkatkan mutu pembungkusan dan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan laminat yang fleksibel.

"Teknologi ini (pembungkusan retort) juga membenarkan pensterilan pelbagai jenis produk makanan dan minuman serta mampu meningkatkan kualiti dan jangka hayat produk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 3:43 PM