BILIK tidur yang mengalami kerosakan memerlukan kos untuk dibaik pulih.
BILIK tidur yang mengalami kerosakan memerlukan kos untuk dibaik pulih.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Norzamira Che Noh


Hulu Langat: "Saya bersyukur dapat menerima bantuan wang awal daripada kerajaan kerana wang itu dapat digunakan untuk membeli keperluan rumah penting yang rosak akibat banjir," kata penduduk Kampung Sungai Serai, Junaidah Arsat.

Junaidah, 56, berkata, beliau menerima wang tunai RM1,000 menerusi Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan sejumlah RM1,000 lagi dari kerajaan negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai di sini, minggu lalu.

"Kawasan ini memang kerap dilanda banjir dan kami (penduduk) akan menerima bantuan daripada kerajaan setiap kali ditimpa bencana itu.

"Kebiasaannya proses untuk menuntut bantuan itu mengambil masa beberapa bulan namun kali ini agak berbeza kerana dalam tempoh kurang sebulan, kami sudah menerima bantuan.

"Dengan adanya bantuan awal ini, saya dapat membeli rak besi untuk meletakkan baju dan barang keperluan lain di rumah.

"Wang itu juga saya gunakan untuk membaiki barang elektrik yang rosak akibat banjir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Serai di sini, semalam.

Beliau yang juga suri rumah berkata, proses menuntut bantuan berkenaan juga amat mudah dan cepat.

"Boleh dikatakan ramai juga penduduk yang pergi ke sekolah berkenaan untuk menerima bantuan berkenaan dan kami diminta beratur sebelum ada petugas menyerahkan kad angka giliran.

"Seterusnya kami ke meja pendaftaran untuk membuat semakan dengan hanya mengemukakan kad pengenalan sebelum menerima bantuan berkenaan. Secara keseluruhannya, proses itu hanya mengambil masa kurang satu jam," katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Sungai Serai, Norsila Zulkamal, 50, berkata, wang diterima daripada bantuan itu digunakannya bagi membeli keperluan alat ganti bengkel suaminya yang turut dilanda banjir.

"Saya dahulukan wang berkenaan untuk membeli keperluan termasuk alat ganti di bengkel suami yang terletak di kampung ini juga memandangkan ia adalah punca pendapatan kami.

"Baki daripada wang berkenaan saya guna untuk membeli rak besi untuk meletakkan pakaian terpakai yang disumbangkan pelbagai pihak," katanya yang juga suri rumah.

Beliau berharap ada bantuan lain dapat disediakan bagi mangsa banjir yang mengalami kerosakan rumah bagi membolehkan mereka membaiki kediaman.

KEADAAN bahagian dapur di rumah Norsila yang mengalami kerosakan akibat banjir.
KEADAAN bahagian dapur di rumah Norsila yang mengalami kerosakan akibat banjir.

"Ketika banjir tempoh hari, air naik hingga melepasi tahap bumbung rumah ini menyebabkan siling rumah rosak teruk dengan sebahagian daripadanya runtuh.

"Jika dibandingkan dengan mangsa banjir lain yang kehilangan rumah, saya amat bersyukur kerana masih ada tempat tinggal.

"Namun pada masa sama, saya berharap ada bantuan boleh diberikan kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan rumah memandangkan ia memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di sekitar kawasan ini mendapati penduduk masih melakukan kerja pembersihan.

Bagaimanapun, kebanyakan premis dilihat sudah beroperasi seperti biasa meskipun masih ada kawasan diselaputi lumpur dan tanah di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 6:31 AM