PENGUAT Kuasa Kawalselia Padi dan Beras merampas 286 kampit putih berisi padi tidak sah di Tanjong Piandang, Perak, semalam. FOTO ihsan Kawalselia Padi dan Beras.
PENGUAT Kuasa Kawalselia Padi dan Beras merampas 286 kampit putih berisi padi tidak sah di Tanjong Piandang, Perak, semalam. FOTO ihsan Kawalselia Padi dan Beras.
Yusmizal Dolah Aling


SATU sindiket menjual 'benih pemusnah' dikesan meraih untung dengan membekalkan padi tidak sah kepada petani yang boleh memberi kesan kepada 57 hektar kawasan tanaman padi di seluruh negara.

Bagaimanapun, hasil pemantauan dan pemeriksaan Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Perak, kegiatan itu ditumpaskan dengan rampasan 286 kampit benih berkenaan di Tanjong Piandang, Perak, semalam.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood berkata, dalam pemeriksaan itu, pihaknya merampas lebih 5.7 tan metrik dipercayai akan dijual secara tidak sah kepada petani di seluruh negara.

Katanya, jika ia digunakan, ia akan memberi kesan kepada industri padi seperti virus, padi angin dan sudah pasti menjejaskan bekalan padi di negara ini.

"Pemeriksaan lanjut semalam mendapati terdapat kampit putih berisi muatan padi dalam stor dan pemilik premis gagal mengemukakan dokumen sokongan berkaitan kampit putih berisi muatan padi disimpan di stor premis itu.

"Ia dikampitkan di dalam guni putih seberat 20 kilogram setiap satu dan dijual pada harga RM70 sedangkan mereka mendapat subsidi kira-kira RM50 untuk membekalkan benih padi berkualiti disahkan Jabatan Pertanian.

"Ini cara mereka untuk mengaut untung mudah dan bayangkan bagaimana kesannya jika semua lima tan metrik benih ini sudah digunakan di dalam tanaman seluruh negara," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Azman berkata, individu terbabit melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pelesenan Membeli Padi 1996, dan pihaknya merampas kampit putih berisi padi, Lesen Membeli Padi (bagi maksud dijual ke kilang) serta baucer bayaran belian padi.

Beliau berkata, penggunaan benih itu akan menyebabkan kerugian kepada petani kerana mengeluarkan modal tinggi, namun padi tidak menjadi.

"Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penjualan benih padi tidak sah yang menipu petani kerana ia memberi kesan kepada industri padi secara keseluruhan.

"Saya ingin mengingatkan mereka, kami tidak duduk diam tanpa berbuat apa-apa. Setiap gerak geri mereka berada dalam radar pemantauan penguat kuasa Kawalaselia Padi dan Beras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 4:19 PM