Nur Aishafarhana menunjukkan ubi kayu parut yang siap diisi dalam penapis teh. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Nur Aishafarhana menunjukkan ubi kayu parut yang siap diisi dalam penapis teh. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Setiap kali musim tengkujuh, gerai menjual kuih putu halba bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila ramai peniaga mengambil peluang untuk mencari rezeki.

Bagaimanapun, peniaga putu halba di Jalan Pasir Hor, di sini, mencipta kelainan apabila menggunakan penapis teh untuk mengukus kuih tradisional berkenaan.

Nur Aishafarhana Mat Noor, 27, berkata lebih lima jenis penapis teh digunakan untuk memastikan ia tahan lama selain tidak mahu jaring penapis rosak ketika dimasukkan ke dalam periuk kukus.

Menurutnya, penggunaan penapis teh bagi mengisi parutan ubi kayu bersama gula Melaka lebih mudah, cepat dimasak selain menjimatkan ruang.

"Sejak membuka gerai pada Oktober lalu, ramai pelanggan dari luar Kota Bharu yang datang membeli putu halba dan merasai sendiri keenakan kuih tradisional ini selain menganggap cara mengukusnya berbeza berbanding peniaga putu halba lain.

"Hampir setiap hari pelanggan sanggup beratur panjang untuk membeli dan saya bersyukur kerana turut dibantu ahli keluarga kerana tidak menang tangan. Ia adalah limpahan rezeki untuk kami," katanya.

Nur Aishafarhana berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan, hampir setiap hari dia menyediakan sekurang-kurangnya 80 kilogram (kg) ubi kayu yang sudah dimesin halus.

"Putu halba mempunyai tekstur rasa yang tersendiri dengan isi gula Melaka yang cair di mulut dan ditambah 'seri' melalui kelapa parut.

"Ia menjadi kuih kegemaran pelbagai peringkat usia terutama apabila dimakan ketika masih panas di musim hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 10:13 PM