SEKUMPULAN penduduk mengadakan demontrasi dan menunjukkan poster bantahan membantah aktiviti pembalakkan  di kawasan tanah kerajaan Sungai Gapoi. FOTO IHSAN PEMBACA
SEKUMPULAN penduduk mengadakan demontrasi dan menunjukkan poster bantahan membantah aktiviti pembalakkan di kawasan tanah kerajaan Sungai Gapoi. FOTO IHSAN PEMBACA
Roselan Ab Malek


Bentong: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menafikan aktiviti yang berlaku di Sungai Gapoi, di sini, adalah pembalakan haram dan mencemarkan Sungai Telemong seperti didakwa penduduk.

Terdahulu, tular dalam media sosial sejak semalam memaparkan sekumpulan penduduk mengadakan demontrasi membantah aktiviti pembalakan di Sungai Gapoi hingga menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong.

JPNP dalam satu kenyataan berkata, kawasan pembalakan di atas tanah seluas 674.9 hektar itu diluluskan kerajaan negeri sejak 2015 kepada Syarikat Sri Jengka Sdn Bhd untuk projek pertanian kelapa sawit.

Katanya, kelulusan itu dibuat berdasarkan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) pada 25 Februari 2015.

"Aktiviti pembalakan diluluskan oleh JPNP melalui kelulusan secara dasar pada 2013, dan MMK pada 2015 membabitkan empat lesen berkeluasan 257.5 hektar yang dilaksana secara berperingkat bermula 1 Disember 2019 sehingga kini.

"Keempat-empat kawasan lesen ini terletak berhampiran antara satu sama lain, dan berkongsi balai pemeriksaan hutan sementara, matau serta penempatan pekerja," katanya.

Katanya, tinjauan pada 1 September lalu juga mendapati dakwaan aktiviti pembalakan itu menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong adalah kurang tepat kerana air sungai terbabit masih jernih.

"Walaupun kawasan ini membabitkan aktiviti pembalakan secara tebang habis, tetapi JPNP menetapkan syarat supaya kawasan zon penampan alur air untuk sungai masih tidak dibenarkan aktiviti penebangan pokok.

"JPNP juga mendapati pelesen masih mematuhi syarat, cuma sebahagian kecil kawasan sungai terdapat sisa pembalakan di dalamnya," katanya.

Katanya, tinjauan juga dibuat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gapoi dan mendapati air sungai masih jernih dan dalam khususnya di bahagian muka sauknya.

"Temubual dengan pekerja Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) di situ turut mengesahkan tiada kes penutupan operasi loji akibat pencemaran sungai.

"Laporan aduan awam yang diterima JPNP juga disemak dan mendapati tiada aduan mahupun bantahan terutama oleh masyarakat Orang Asli Kampung Gapoi iaitu penempatan paling hampir dengan kawasan pembalakan ini.

"Bagaimanapun, JPNP mahu pelesen mengambil tindakan penyelenggaraan lebih kerap terutama membabitkan jalan pengeluaran hutan dan zon penampan alur air, demi mengurangkan impak kepada alam sekitar di kawasan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 4:27 PM