DERETAN lori kontraktor KDEB Waste Management bagi kutipan sampah domestik pada majlis penyerahan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, semalam.
DERETAN lori kontraktor KDEB Waste Management bagi kutipan sampah domestik pada majlis penyerahan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, semalam.
Nur Lela Zulkipli


SHAH ALAM: Bermula 1 Januari tahun depan, KDEB Waste Management (KDEBWM) dijangka berdepan pertambahan jumlah kutipan sisa pepejal kira-kira 2,000 tan sehari selepas mengambil alih kerja kutipan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pertambahan itu susulan faktor demografi penduduk padat di Shah Alam yang menyebabkan jumlah kutipan boleh mencecah sehingga 7,000 tan sehari.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han berkata, jumlah populasi semakin meningkat di Shah Alam memainkan peranan utama kepada pertambahan kutipan sisa pepejal secara keseluruhannya.

“Cabaran pertama adalah pertambahan jumlah sampah sisa pepejal. Buat masa ini, KDEBWM mengutip 5,200 tan sampah sehari di negeri ini.

“Jumlah ini akan bertambah selepas pengambilalihan di MBSA dan mungkin meningkat ke 6,000 tan sehari. Pada masa akan datang pula dijangkakan jumlah itu terus meningkat kepada 7,000 tan sampah sehari,” katanya pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran MBSA di Dataran Kemerdekaan di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MBSA, Mohd Rashidi Ruslan, Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir.

Pada majlis itu, KDEBWM turut menyerahkan 56 lori kompaktor (pemampat) baharu dan sebuah lori arm roll untuk menjalankan operasi kutipan sisa pepejal di kawasan MBSA bermula tahun depan.

Beliau berkata, KDEBWM juga akan berdepan isu pembuangan sampah haram yang masih dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Justeru, saya meminta semua pihak supaya bertindak secara kolektif bagi membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

“Penguatkuasaan dan pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan sampah haram ini,” katanya.

Bermula 1 Januari tahun depan, KDEBWM akan mengambil alih pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA.

Manakala bagi kerja pembersihan awam kawasan berkenaan pula dijangka diambil alih pada 1 Julai 2020.

KDEBWM juga melebarkan operasi bagi kutipan sampah industri di Majlis Daerah Kuala Langat, kutipan sampah di kampung tradisi Majlis Daerah Kuala Selangor dan pembersihan taman di Majlis Perbandaran Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 5:50 AM