BERUANG dewasa yang mati dilanggar kereta. FOTO ihsan pembaca
BERUANG dewasa yang mati dilanggar kereta. FOTO ihsan pembaca
Mohd Amin Jalil

Kuala Pilah: Seekor beruang matahari jantan dewasa seberat 85 kilogram mati dipercayai dilanggar sebuah kereta di laluan Kuala Pilah-Seremban berhampiran Hutan Lipur Ulu Bendul di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, tiga sekawan beruang dikatakan melintas di laluan itu namun seekor daripadanya mati selepas sebuah kereta dipercayai gagal mengelak binatang berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.45 malam dan sampai ke lokasi jam 9.10 malam.

"Sebaik sampai di lokasi, pihak kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Volkswagen yang cuba mengelak haiwan.

"Kenderaan terbabit kemek di bahagian hadapan. Hasil maklumat orang awam, terdapat tiga beruang berkeliaran di lokasi kejadian dan seekor daripadanya mati dipercayai dilanggar," katanya di sini, hari ini.

Katanya, kemalangan itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan terhadap pemandu dan penumpang kenderaan.

"Kami juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Nurul Erni Ramli berkata, hasil siasatan, pihaknya mendapati beruang matahari itu mati akibat kecederaan selepas dilanggar kereta.

"Lokasi kemalangan sememangnya antara kawasan habibat haiwan berkenaan. Saya berharap orang ramai memandu di kawasan itu berhati-hati terutama pada malam hari kerana kemungkinan terdapat haiwan liar melintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 10:39 AM