Tapir jantan mati dilanggar kereta di Kilometer 200 menghala ke Kuantan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, malam tadi. FOTO Ihsan Perhilitan
Tapir jantan mati dilanggar kereta di Kilometer 200 menghala ke Kuantan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, malam tadi. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seekor tapir jantan seberat 220 kilogram (kg) mati dilanggar kereta milik pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang di Kilometer 200 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 menghala ke Kuantan, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kemalangan berlaku pada 8.50 malam itu apabila haiwan berumur 10 tahun itu cuba melintas jalan.

Menurutnya, di kiri dan kanan LPT itu adalah kawasan Hutan Simpan Berkelah dan tapir itu kemungkinan melalui tepi Sungai Berkelah sebelum masuk ke LPT seterusnya berlaku kemalangan.

"Pegawai Perhilitan Maran segera ke tempat kejadian untuk menyiasat kejadian dan bangkai haiwan terbabit dibawa ke kawasan Tol Sri Jaya.

"Kemalangan membabitkan kenderaan membawa Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman menyebabkan beliau dan pemandu cedera ringan," katanya.

Rozidan berkata, tahun lalu lima tapir mati dilanggar kenderaan dan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, tiga tapir mati di negeri ini.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan Perhilitan Pahang dalam memastikan episod kematian tapir di atas jalan negeri dan persekutuan tidak terus berlaku.

Katanya, antara usaha itu termasuk menambah jumlah papan tanda peringatan kawasan haiwan terbabit melintas yang diharap dapat mengingatkan pemandu supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 2:24 PM