ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan pada tongkang yang terbakar di Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, hari ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan pada tongkang yang terbakar di Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, hari ini. FOTO ihsan bomba
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang parah manakala lima lagi cedera ringan dalam kebakaran membabitkan tongkang di Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.54 pagi.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai yang diketuai Mohamad Yahaya Murad ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.

"Ketika tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah tongkang dengan anggaran kemusnahan sebanyak 20 peratus.

"Terdapat enam lelaki yang mana seorang daripadanya parah manakala lima lagi mengalami cedera ringan di tangan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jurucakap itu berkata, mangsa diberi rawatan awal kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.

Katanya bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada jam 11.08 pagi.

"Setakat ini kerja pemadaman masih dilakukan dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 1:54 PM