KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO Eizairi Shamsudin
KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO Eizairi Shamsudin
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Bermula minggu depan, semua pengembara yang pulang dari Arab Saudi akan diwajibkan untuk memakai peranti digital bagi memastikan mereka patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) iaitu kurantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana kebanyakan kes Omicron yang dikesan oleh pihaknya membabitkan individu yang pulang dari Jeddah khususnya mereka yang baru pulang dari mengerjakan umrah.

Beliau memaklumkan, kebanyakan individu berkenaan yang dibenarkan untuk kuarantin di rumah, tidak patuh kepada arahan berkenaan serta menerima tetamu semasa tempoh kuarantin dijalankan.

"Daripada jumlah keseluruhan 49 kes yang mempunyai Omicron, 30 daripadanya adalah mereka yang pulang dari Arab Saudi iaitu baru mengerjakan umrah, kita dapati sebahagian besar tidak patuh dengan SOP dan menjalankan pengasingan.

"Ada diantara mereka bergaul dengan keluarga serta menerima tetamu daripada jiran tetangga. Mereka bersalam untuk mengambil berkat tetapi akhirnya dapat Omicron.

"Jadi tolong, jangan keluar bilik, jangan berjumpa dengan orang, jangan terima tetamu. Tunggu semuanya selesai (kuarantin) dahulu, barulah berjumpa," katanya dalam sidang media khas yang diadakan hari ini.

Buat masa ini, terdapat sembilan negara yang berisiko tinggi dan pengembara yang pulang dari negara berkenaan perlu dipakaikan peranti digital ketika menjalani kuarantin di rumah.

Sembilan negara berkenaan merangkumi United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kerajaan sudah memberikan kelonggaran kepada pengembara untuk menjalankan kuarantin dirumah dan mereka mestilah patuh akan SOP berkenaan.

"Kita akan hidup dengan virus ini, jadi kerajaan sudah melonggarkan syarat supaya boleh kuarantin di rumah, tidak lagi perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk kuarantin di hotel.

"Jadi tolong patuh, jangan bertemu dengan sesiapa ketika tempoh kuarantin dilaksanakan bagi mengurangkan penularan Covid-19 terutamanya varian Omicron yang kini dilihat semakin meningkat di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Khairy menggalakkan individu yang ingin ke luar negara untuk mendapatkan dos penggalak sebelum ke mana-mana negara.

"Saya akan umumkan kelak untuk memendekkan jarak masa pengambilan dos penggalak daripada dos kedua ke dos ketiga. Dengan ini ia akan membolehkan lebih ramai rakyat di negara ini mendapatkan dos penggalak. Kita galakkan mereka yang akan ke luar negara untuk ambil dos penggalak ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 12:02 PM