TANGKAP layar video tular
TANGKAP layar video tular
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan trak berlogo UN yang merujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digunakan dalam misi bantuan banjir.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak benar.

Menurutnya, paparan video tular berkenaan adalah untuk proses Ujian Penerimaan Akhir (FAT) yang dilaksanakan ATM sebelum kenderaan itu diatur gerak ke Lubnan.

"Kenderaan itu adalah kegunaan Kontinjen Malbatt 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah Pasukan Interim PBB (UNIFIL)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, masyarakat diminta agar tidak menularkan perkara yang tidak pasti atau berita palsu sehingga mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Katanya, mereka yang menyebarkan perkara palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 6:01 PM