IDRIS Ahmad. FOTO Arkib NSTP.
IDRIS Ahmad. FOTO Arkib NSTP.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan membantu mangsa banjir di Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan semula dokumen pernikahan mereka yang musnah dalam bencana itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, dokumen gantian itu akan diberikan secara percuma kepada mereka.

Katanya, bagi Sijil Kursus Pra perkahwinan untuk bakal pengantin di Wilayah Persekutuan pula, mangsa boleh membuat permohonan semula secara percuma selain, sijil pengajian bagi graduan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Permohonan untuk mendapatkan semula dokumen ini tidak perlu secara tergesa-gesa dan boleh berurusan terus dengan agensi Jakim dan Jawi.

"Inisiatif ini adalah usaha untuk membantu meringankan beban mangsa banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memohon agar semua pihak untuk terus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mangsa banjir, anggota keselamatan, petugas barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 4:01 PM