ABDUL Aziz
ABDUL Aziz
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melantik Datuk Abdul Aziz Jusoh sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM) yang baharu bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pelantikan Abdul Aziz adalah bagi mengisi jawatan itu selepas Datuk Paimuzi Yahya,59, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 8 Oktober tahun lalu akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

Menurut beliau, pemilihan Abdul Aziz berdasarkan perkhidmatannya selama 34 tahun lima bulan di JAKIM dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam khususnya dalam pentadbiran hal ehwal Islam.

Katanya, sepanjang perkhidmatan, beliau mempamerkan integriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang serta diterima baik oleh rakan strategik utama JAKIM dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), agensi-agensi agama di bawah JPN (Hal Ehwal Agama) serta warga JAKIM.

"Kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia, kerajaan yakin beliau mampu untuk menerajui JAKIM sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Abdul Aziz yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1985 dan mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama daripada Muslim College, London pada 2003 pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Hal Ehwal Islam, JPM pada 1986.

Antara jawatan penting yang pernah disandang adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2018 hingga 2020; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2017 hingga 2018; Pengarah, JAKIM Cawangan Sarawak pada 2013 hingga 2017; Atase Agama, Bahagian Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, Indonesia pada 2009 hingga 2013; Ketua Penolong Pengarah (Agama), Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada 2008 hingga 2009; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, JAKIM pada 2005 hingga 2009 dan Pegawai Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo, Jepun pada 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 9:41 AM