Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib ( tengah),  Lokman Effendi ( dua dari kiri) dan Effendi Ali ( kiri ) menyampaikan sumbangan Al-Quran untuk kegunaan masjid dan surau ditenggelami banjir sebelum ini.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib ( tengah), Lokman Effendi ( dua dari kiri) dan Effendi Ali ( kiri ) menyampaikan sumbangan Al-Quran untuk kegunaan masjid dan surau ditenggelami banjir sebelum ini.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tidak hanya membantu ribuan mangsa banjir Disember lalu malah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menggembleng usaha mengumpulkan ribuan Al-Quran, telekung dan sejadah untuk diderma kepada mangsa memerlukan.

Usaha mengumpul Al-Quran itu membabitkan pegawai APM, pegawai bersekutu APM serta orang awam untuk diagihkan ke lokasi terjejas banjir sebelum ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan yang juga wakil rasmi Ketua Pesuruhjaya APM, Yang Amat Setia Pesuruhjaya Lokman Effendi Ismail berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam pengurusan Al-Quran, proses pengeringan Al-Quran, menghantar dan melepaskan abu Al-Quran ke laut bersama pihak JAWI.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 1,145 Al-Quran sudah disumbangkan pihak APM melalui misi Program Qalam Move APM Wilayah Persekutuan bermula 30 Disember lalu.

"APM Wilayah Persekutuan sudah mengagihkan sumbangan Al-Quran, telekung dan sejadah di Pusat Kawalan Operasi Bencana Hulu Langat, Selangor, membabitkan 180 Al-Quran dan 50 sejadah di masjid dan surau sekitar Hulu Langat.

"Sumbangan sama turut dilakukan di Surau An Nur, kampung Labu Lanjut, Salak Tinggi dan Masjid Al Makmur Kg Giching, Sepang, membabitkan agihan 200 Al-Quran. Sumbangan turut diagihkan di kawasan terjejas banjir di Johor iaitu sebanyak 100 Al-Quran, 100 sejadah dan 100 Surah Yassin," katanya pada perasmian Program Qalam Move APM Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah APM Wilayah Persekutuan,Kol.(PA) Effendi Ali dan

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Menurutnya, APM Wilayah Persekutuan turut mengumpulkan Al-Quran yang rosak dari kawasan terkesan bencana banjir bagi tujuan pelupusan mengikut syarak.

"Dianggarkan seberat 500 kilogram Al-Quran yang rosak dikumpulkan APM sebelum ini.

"APM Wilayah Persekutuan sebelum ini menggerakkan anggota dan aset untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dengan melakukan tugas menyelamat dan menguruskan penempatan mangsa-mangsa banjir dengan membuka tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Wilayah Persekutuan dan tiga PPS lagi bagi menempatkan mangsa bencana kebakaran dan tanah runtuh," katanya.

Malah menurutnya, APM Wilayah Persekutuan turut melaksanakan tugas-tugas dalam pasca bencana seperti pembersihan, pemulihan dan juga kebajikan mangsa bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 11:32 AM