BANTUAN kepada Orang Asli yang menjadi mangsa banjir di Bentong.FOTO Ihsan JAKOA
BANTUAN kepada Orang Asli yang menjadi mangsa banjir di Bentong.FOTO Ihsan JAKOA
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Sebanyak 62 kampung Orang Asli di Pahang ditenggelami banjir dan terputus hubungan, kata Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang Johari Alwi.

Menurutnya, 565 ketua isi rumah (KIR) etnik itu berpindah ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan.

Bagaimanapun, katanya masih ramai Orang Asli yang enggan berpindah kerana tidak selesa berada di PPS selain faktor lain dan lebih selesa menumpang di rumah saudara selain tinggal dalam khemah di kawasan bukit.

"Setiap KIR Orang Asli yang berpindah ke PPS seperti balai raya dan sekolah menerima bantuan bakul makanan, termasuk barangan lain yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagi yang tidak berpindah mereka masih menerima bantuan keperluan asas yang diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya di sini, hari ini.

Johari berkata, pihaknya terus memberi bantuan untuk meringankan beban golongan itu namun terhad disebabkan kawasan sukar dilalui dan terputus hubungan.

Menurutnya, kerjasama dengan NGO seperti Projek Asal dan Volunteer Team (JPVT) juga membolehkan mangsa banjir Orang Asli didekati termasuk di Kampung Orang Asli Sungai Miak dan Batu 19, Bentong.

"Di Bentong, Pejabat Jakao Bentong menyumbang enam tilam angin buat mangsa yang rumah mereka musnah," katanya yang memberitahu Jakoa akan terus memantau perkembangan golongan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 9:31 AM