Pil kuda yang dirampas polis dalam serbuan di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Pil kuda yang dirampas polis dalam serbuan di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Buruh ditahan polis selepas disyaki memiliki 10,000 biji pil kuda bernilai RM100,000 di Kampung Bayu Lalang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan pada 11.30 malam tadi.

Menurutnya, polis menemukan beg berwarna hitam dan baju hujan yang digunakan untuk menyembunyikan kesemua biji pil kuda di bahagian dapur rumah ketika serbuan itu.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Dalam siasatan awal, suspek mengaku berperanan sebagai pengedar dadah dan mendapat upah daripada individu digelar sebagai Din," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, suspek menerima upah sebanyak RM1,000 seminggu dengan melakukan kerja mengedar sebanyak dua kali seminggu sekitar kawasan di sini.

"Susulan itu, polis membuat satu lagi serbuan ke Kampung Tujuh Pengkalan Kunor, Tumpat, pada 3.10 pagi hari ini.

"Hasil serbuan itu, peniaga berusia 35 tahun disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah bersama suspek pertama ditahan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 11:22 AM