PIL kuda dan heroin yang dirampas menerusi kes berkenaan. FOTO Ihsan Polis
PIL kuda dan heroin yang dirampas menerusi kes berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pil kuda serta heroin bernilai RM110,000 di Taman Perumahan Rantau Mas, di sini, 8.30 malam tadi.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan selepas anggota polis yang bertugas terserempak lelaki itu sedang berjalan kaki sambil memegang bungkusan plastik berwarna kuning, dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata sebaik mendekati suspek, anggotanya memperkenalkan diri sebagai polis.

"Akibat terkejut dengan kehadiran anggota, suspek bertindak untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan berkenaan turut menemukan 200 biji lagi pil kuda serta heroin yang disorokkan di bawah simen berdekatan kawasan parkir.

"Hasil tangkapan itu, polis merampas 800 pil kuda dan 67.5 gram dadah jenis heroin dipercayai milik suspek," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, kesemua dadah dirampas dan suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut selain ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

"Selepas soal siasat dijalankan, suspek mengakui kesemua dadah terbabit adalah miliknya selain menjadi pen 'penjaga stor' kepada seorang individu yang bernama 'Jemey'.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 10:10 AM