ROKOK yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
ROKOK yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Serbuan polis di rumah di Kampung Dangar, di sini, semalam, menemui 94,600 batang rokok seludup bernilai RM189,200.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketika serbuan 11 malam itu, pihaknya turut menahan lelaki berusia 49 tahun dipercayai pemilik rumah berkenaan.

"Anggota menemui 10 kotak berwarna coklat yang mengandungi kesemua rokok berkenaan, disyaki disimpn di rumah berkenaan sebagai tempat transit sebelum dijual untuk pasaran tempatan.

"Sebaik soal siasat dilakukan, suspek mengaku kesemua rokok ini adalah miliknya. Anggota kemudian menahan suspek serta merampas kesemua rokok untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut.

"Ujian saringan air kecing turut dilakukan kepada suspek dan keputusanya negatif, manakala semakan juga mendapati suspek turut mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk penyalah gunaan dadah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasaruddin turut berkongsi kejayaan pihaknya menangkap penganggur berusia 23 tahun dipercayai memiliki 400 biji pil kuda bernilai RM4,000 di Kampung Tobuak, Tendong, di sini, 11.30 malam tadi.

"Ketika kejadian suspek berada di sebuah kedai makan sebelum didatangi anggota polis yang kemudian membuat pemeriksaan tubuh badan dan beg berwarna hitam yang ada pada tubuhnya.

"Hasil pemeriksaan, anggota menemui kesemua pil kuda terbabit di dalam beg miliknya, yang diisi di dalam plastik berwarna biru. Suspek ditahan dan dadah dirampas untuk dibawa ke IPD Pasir Mas.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine sert kes disiasat dibawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 11:09 AM