Allahyarham Osman Sapian
Allahyarham Osman Sapian
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jenazah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, di sini, selepas solat Zohor, hari ini.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Senator Md Nasir Hashim berkata, perkara itu dimaklumkan keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu.

"Jenazah Datuk Osman Sapian dijangka tiba tengah hari ini dari Damansara, Selangor.

"Ia akan dibawa ke Masjid Al Raudah, Kampung Dato Onn, Larkin untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, di sini, untuk dikebumikan selepas Zohor nanti," katanya ketika dihubungi.

Tengah malam tadi, Osman, 70, disahkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara, kira-kira jam 11.45 malam.

Perkara itu dilaporkan disahkan abang kepada bekas Menteri Besar Johor ke-16 itu, Datuk Aziz Sapian.

Sebelum ini, pada 13 Oktober media melaporkan Osman dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor kerana diserang strok ringan.

Osman kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan selepas tahap kesihatannya merosot.

Pada 13 November lalu, Osman dilaporkan kembali stabil tetapi masih berada dalam pemerhatian rapi dan tidak sedarkan diri.

Osman adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu yang dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Allahyarham menjawat jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam.

Berita berkaitan:

  • Bekas MB, Osman Sapian meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 8:34 AM