LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Omar Ahmad


Johor Bahru : Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berada dalam keadaan stabil, namun belum pulih sepenuhnya.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu masih dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga beliau, Osman belum pulih sepenuhnya dan belum dapat menggerakkan anggota badannya.

"Beliau masih perlu mendapatkan rawatan," katanya pada sidang media status kemajuan projek naiktaraf Persimpangan Bertingkat Kempas, di sini hari ini.

Pada 13 Oktober lalu, Osman, 70, dilaporkan menghadapi serangan angin ahmar di kediamannya.

Osman juga adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu yang dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), dan menjawat jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 8:59 PM