ISMAIL Sabri beramah mesra dengan kanak-kanak yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Buntar, Bera, hari ini.
ISMAIL Sabri beramah mesra dengan kanak-kanak yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Buntar, Bera, hari ini.
Wartawan HM


Bera: Penduduk di utara Semenanjung Malaysia dinasihatkan agar bersedia berdepan sebarang kemungkinan berlaku banjir akibat hujan berterusan di negeri berkenaan.

Ia berikutan amaran tahap waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, beliau tidak mahu kejadian banjir yang berlaku di Selangor berulang apabila kebanyakan penduduk tidak bersedia menghadapi bencana itu sehingga mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

"Kita tidak mahu jadi seperti Selangor kerana banjir bukan perkara biasa. Jadi apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran, mereka (penduduk) mungkin tidak menjangka air naik dengan cepat dan enggan berpindah.

"Akhirnya ramai terperangkap dan terpaksa berpindah serta-merta tanpa sempat menyelamatkan harta-benda serta dokumen pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Buntar, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Ismail Sabri turut menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS berkenaan sebelum melawat beberapa PPS yang berhampiran.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya turut bersedia dari segi PPS, bantuan barangan, keperluan aset selain memastikan sistem perparitan dan saliran diselenggara dengan baik.

MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia, hari ini.

Amaran tahap waspada itu membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Perak iaitu Kerian dan Larut, Matang serta Selama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 8:11 PM