Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop memberi kenyataan berkenaan video viral tiga ibu tunggal mendapat bantuan dari gereja yang tular baru-baru ini ketika sidang media di Bangunan Zakat Selangor, Seksyen 13, Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop memberi kenyataan berkenaan video viral tiga ibu tunggal mendapat bantuan dari gereja yang tular baru-baru ini ketika sidang media di Bangunan Zakat Selangor, Seksyen 13, Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudah menemui dua daripada tiga ibu tunggal beragama Islam yang mendakwa terpaksa memohon bantuan kewangan daripada pihak gereja, susulan permohonan mereka ditolak oleh pusat zakat atau agensi berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop berkata, hasil pertemuan itu juga tidak dapat disahihkan sama ada ketiga-tiga wanita itu menerima bantuan daripada gereja seperti didakwa.

Katanya, berdasarkan siasatan pihaknya, salah seorang ibu tunggal berkenaan adalah asnaf miskin yang berdaftar dengan agensi berkenaan pada tahun lalu.

"Ibu tunggal itu mempunyai tiga orang tanggungan dan sehingga kini, bantuan zakat yang diterima berjumlah RM23,450 termasuk bantuan kewangan bulanan serta sewa rumah yang disalurkan sehingga Disember tahun ini.

"Bantuan lain yang diterima adalah bantuan pendidikan, bantuan hutang keperluan hidup (bagi menjelaskan tunggakan sewa rumah) serta bantuan kecemasan. Bagaimanapun, usaha kami menghubungi ibu tunggal ini gagal.

"Bagi ibu tunggal kedua, daripada siasatan kami mendapati dia bukan ibu tunggal dan mempunyai suami yang tidak menetap di negara ini. Wanita ini juga menerima bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2012 hingga 2017.

"Dia juga pernah menerima bantuan menyelesaikan tunggakan sewa rumah pada 2017 daripada LZS dan tiada permohonan lain dibuat olehnya selepas itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat LZS di Seksyen 13 hari ini.

Beliau berkata, wanita ketiga pula didapati masih mempunyai suami dan baru sahaja menghantar permohonan pendaftaran asnaf fakir dan miskin bagaimanapun dokumen yang dilampirkan tidak lengkap kerana dokumen perceraian tidak disertakan.

Saipolyazan berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit kerana ia secara tidak langsung menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat.

"Hilangnya kepercayaan akan menyebabkan kutipan terjejas dan bagaimana kita mahu menyantuni golongan yang memerlukan bantuan?

"Kami juga meminta kepada yang memerlukan bantuan agar mengunjung cawangan LZS di seluruh negeri ini yang mana walaupun dalam pandemik, kita tetap membuka 21 cawangan," katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan juga menggalakkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk berkongsi maklumat sekiranya terdapat ibu tunggal atau keluarga asnaf fakir yang memerlukan bantuan.

Katanya, sehingga April lalu, seramai 58,714 keluarga asnaf fakir dan miskin serta 5,808 mualaf menerima bantuan LZS. Daripada jumlah terbabit, sebanyak 17,535 adalah ibu tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 4:23 PM