Muhd Hazim menunjukkan gambar mendakwa Segamat dilanda bah adalah tidak benar tersebar menerusi laman sosial. FOTO AHMAD ISMAIL
Muhd Hazim menunjukkan gambar mendakwa Segamat dilanda bah adalah tidak benar tersebar menerusi laman sosial. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Segamat: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini memberi amaran kepada orang ramai supaya berhenti menyebarkan gambar dan maklumat palsu mengenai bah di daerah ini, yang tular di laman sosial, baru-baru ini.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata, gambar dan berita itu tidak benar serta tiada laporan banjir diterima berkaitan kes didakwa berlaku di daerah ini.

"Penyebaran laporan itu mengundang keresahan orang awam berkaitan kes banjir sedangkan ia tidak berlaku.

"Justeru, orang awam perlu menghentikan penyebaran maklumat berkenaan serta-merta. Gambar bah yang dikongsi itu sebenarnya berkaitan bah berlaku beberapa tahun lalu," katanya ketika ditemui di BBP di Jalan Abdullah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil sekiranya ada individu terus menyebarkan maklumat palsu itu.

Menurutnya, ketika ini, seolah-olah satu kebiasaan setiap kali musim tengkujuh, laman sosial Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp dipenuhi dengan maklumat bergambar berkaitan banjir sedangkan ia palsu.

Malah, katanya, pelbagai versi berkaitan laporan itu turut disebarkan kononnya Segamat tenggelam lagi.

"Walaupun ia dilakukan segelintir individu, namun kepantasan teknologi di hujung jari menyebabkan ia tersebar dengan pantas serta meluas.

"Kali terakhir Segamat dilanda banjir pada 2018 dan tiada banjir di sini ketika ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh menasihatkan agar orang ramai menghentikan penyebaran gambar atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial kerana ia boleh mengelirukan.

Beliau berkata, polis akan mengesan individu terbabit jika menerima laporan dan tindakan tegas akan diambil kerana menyebarkan maklumat palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 4:24 PM