GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Satu kluster pendidikan menjadi kluster baharu Covid-19 yang dikesan di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ia membabitkan 41 penuntut dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

"Kes indeks kes bagi kluster ini ialah seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

"Kes indeks yang mula bergejala sejak 1 Disember kemudiannya disahkan positif Covid-19 melalui saringan di Pusat Perubatan UMS pada 2 Disember lepas dan selesai menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) UMS.

"Saringan terhadap kontak kes mendapati 40 lagi kes positif terdiri daripada penuntut dan kakitangan UMS.

"Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah sebanyak 41 kes. Semua kes sudah diasingkan dan diberikan rawatan yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 232 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 237,535 kes.

"Sebanyak enam kes kematian dilaporkan pada hari ini (semalam) iaitu dua kes di Ranau, manakala masing-masing satu kes di Keningau, Penampang, Semporna dan Tawau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 8:28 AM