TIONG (tengah) melepaskan peserta. FOTO Bernama
TIONG (tengah) melepaskan peserta. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dimeriahkan lagi dengan acara Larian Santai dan pelancaran lagu kempen Tourism Malaysia "Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia."

Program anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia (PRWM) itu, berjaya menarik 5,302 peserta di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tagline 'Inilah Masanya' memanifestasikan satu seruan kepada rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada sektor pelancongan domestik agar ia terus berdaya saing meskipun berdepan krisis Covid-19.

"Selain berlari santai menghirup udara segar, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong menerusi aktiviti sukan, rekreasi, seni dan kebudayaan.

"Melalui kempen ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia melakukan pergerakan melancong merentasi pelbagai negeri sekali gus menyumbang kepada pertubuhan ekonomi setempat," katanya dalam kenyataan Tourism Malaysia hari ini.

Lagu kempen 'Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia' dinyanyikan oleh Nik Qistina dan merupakan hasil gubahan komposer Ananth Kumar dengan lirik ciptaan James Boyle.

Dalam majlis sama, Tiong turut melepaskan peserta Larian Santai sejauh tujuh kilometer sepanjang laluan Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Saraya Arbi, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL Khairul Anuar Mhd Juri yang mewakili Datuk Bandar Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan turut diserikan dengan program Pameran Santai@Kuala Lumpur 'Me&Mycity' di Dataran Mereka yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik, selain aktiviti untuk pengunjung seperti demonstrasi batik dan terapi spa.

Antara pempamer yang menyertai astaka Tourism Malaysia kali ini ialah Menara Kuala Lumpur, Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), C'woks Design (Batik Tulis), Premier Hotels & Resort dan Farhan Travel & Tours.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 12:41 PM