AHMAD Zakaria menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak kembar siam.
AHMAD Zakaria menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak kembar siam.

Kangar: Sepasang kembar Siam berusia lapan tahun yang pernah bercantum di abdomen selain tiada punggung, teruja untuk kembali ke sesi persekolahan baru pada tahun depan apabila menerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah, semalam.

Keadaan itu dapat dilihat pada riak wajah Nur Badrishah dan Nur Bahiyah Norhisyam yang kini menjalani kehidupan normal selepas melakukan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur pada 2008 apabila bersemangat mahu memasuki tahun tiga di Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, Chuping, Padang Besar.

Badrishah berkata, mereka gembira selain seronok sekali gus tidak sabar mahu bersekolah semula.

“Kami ada baju, kasut dengan beg sekolah baru. Ini membuatkan kami bersemangat nak pergi sekolah dan mampu beri keputusan terbaik kepada ibu dan ayah,” katanya.

Mereka ditemui sempena program ‘Back To School’ anjuran Unit Kerja Sosial Perubatan HTF dan badan bukan kerajaan (NGO) Our Touch Community di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perubatan HTF, Dr Abd Karim Abdullah dan Presiden Our Touch, Raja Nazilawati Raja Zainal.

Ibu kepada pasangan kembar siam itu, Sopiah Daud, 39, berkata Nur Badrishah yang mesra dipanggil Shasha dan Nur Bahiyah atau Yaya sangat teruja apabila dipilih sebagai antara penerima kelengkapan sekolah berkenaan bagi sesi tahun hadapan.

“Mereka masih mampu berlari, bermain dan menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. Namun, pergerakan Yaya kelihatan sedikit sukar kerana kedudukan tulang belakangnya senget menyebabkan postur tubuhnya kelihatan tidak seimbang.

“Malah, doktor sebelum ini pernah memberitahu jangkaan peluang untuknya (Yaya) berjalan adalah 50 peratus,” katanya.

Selain itu, katanya, pasangan kembar siam itu juga terpaksa menggunakan plastik saluran najis di perut seumur hidup kerana tidak mampu membuang air besar seperti kanak-kanak normal.

Sementara itu, Pengerusi program Anuar Long berkata, pihaknya menganjurkan majlis berkenaan untuk membantu pesakit HTF yang terdiri daripada murid sekolah.

“Mereka pernah menerima rawatan dan latar belakang keluarga juga tidak berkemampuan menyebabkan kita berusaha menyediakan kelengkapan sekolah seperti alat tulis, beg, kasut dan pakaian sekolah bagi membantu meringankan beban keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 8:33 AM