HASNOL Zam Zam Ahmad melawat Tapak Pasar Tani Paroi Jaya sempena Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
HASNOL Zam Zam Ahmad melawat Tapak Pasar Tani Paroi Jaya sempena Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Permintaan dan penawaran tidak seimbang dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada kenaikan harga sayur-sayuran dan makanan di pasaran kebelakangan ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata penghasilan dan pengeluaran produk pertanian berkurangan kerana faktor cuaca dan kesan perubahan iklim.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangan antara beliau dengan penanam sayur sama ada di tanah tinggi atau rendah, mereka menyatakan menghadapi masalah dengan perubahan cuaca ketika ini.

"Jika dulu mereka menjangkakan cuaca kering dan boleh menanam tanaman tertentu, tetapi cuaca hujan menyebabkan tanaman rosak selain serangan penyakit.

"Ini membawa kepada kurangnya penghasilan di pasaran dan kebetulan bertembung pula dengan pembukaan aktiviti ekonomi.

"Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) permintaan hanya dalam kalangan isi rumah, tapi sekarang di restoran, pasar malam, pasar tani, majlis sosial dan pergerakan rentas sempadan serta pembukaan sektor pelancongan, yang mempengaruhi permintaan dan penawaran sayuran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Peringkat Negeri Sembilan di Pasar Tani Taman Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Isu kenaikan harga makanan, khususnya sayur-sayuran dan ayam kebelakangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna dan turut mendapat perhatian Ahli Dewan Rakyat termasuk pembangkang yang menggesa kerajaan mengambil tindakan serta-merta dalam usaha mengawal kenaikannya.

Mengulas lanjut, Hasnol berkata, pihaknya tidak menafikan input pertanian seperti komponen membuat baja diimport pada harga tinggi turut memberi kesan kepada kenaikan harga sayuran.

"Kita (kerajaan) tidak dapat mengawal harga input pertanian ini, justeru pilihan penggunaan baja organik perlu diperbanyakkan bagi jangka panjang.

"Ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada komponen import dalam penghasilan sayuran dan makanan di negara ini.

"Kami yakin isu ini bersifat sementara dan kenaikan harga akan pulih sebaik tamat musim tengkujuh Mac tahun depan," katanya.

Sementara itu, Hasnol berkata, PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan pengurangan sehingga 20 peratus lebih rendah daripada pasaran.

Beliau berkata, antara barangan berkenaan ialah ayam, ikan, telur, sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan diproses.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 3:19 PM