GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah belum mencapai sasaran imuniti kelompok atau 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19 dengan pencapaian terkini baru mencecah 75.44 peratus setakat kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, peratusan itu mewakili seramai 2,081,073 penduduk dewasa.

Katanya, bagi penduduk dewasa yang sudah menerima satu dos vaksin, pencapaian setakat kelmarin menunjukkan seramai 2,105,061 orang sudah menerima suntikan atau bersamaan 76.31 peratus daripada jumlah penduduk dewasa Sabah.

"Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat 24 November 2021 adalah seramai 2,438,616 orang. Ini meliputi 2,105,061 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 76.31 peratus jumlah penduduk dewasa.

"Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula, seramai 2,387,066 orang direkodkan setakat semalam (kelmarin) dengan seramai 2,081,073 orang daripadanya atau 75.44 peratus adalah penduduk dewasa," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Bagi program pemberian vaksin untuk golongan remaja katanya, seramai 333,555 orang atau 76.86 peratus daripada remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Sabah sudah menerima satu dos vaksin.

Katanya, seramai 305,993 orang atau 70.51 peratus pula sudah lengkap dua dos vaksin.

Sebelum ini, kerajaan negeri mensasarkan imuniti kelompok vaksin Covid-19 bagi penduduk dewasa di Sabah dicapai pada minggu pertama atau kedua November, namun statistik menunjukkan sasaran berkenaan belum dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 8:19 AM