GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah

[email protected],my

Kota Kinabalu: Sabah baru mencapai 70.3 peratus daripada jumlah penduduk dewasanya yang sudah lengkap vaksin Covid-19 setakat kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, peratusan itu mewakili seramai 1,939,517 orang berumur 18 tahun ke atas.

Beliau berkata, penduduk dewasa di negeri ini yang menerima satu dos vaksin pula seramai 2,079,569 orang mewakili 75.4 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah.

"Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin setakat 11 Oktober ialah seramai 2,380,981 orang, dengan 2,079,569 orang adalah penduduk dewasa iaitu bersamaan dengan 75.4 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah.

"Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula ialah seramai 2,055,483 orang. Daripada jumlah ini, seramai 1,939,517 orang atau 70.3 peratus adalah penduduk dewasa," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berkata, bagi vaksinasi remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun, seramai 301,412 orang atau 70.7 peratus sudah menerima satu dos vaksin.

Katanya, seramai 115,966 atau 27 peratus daripada jumlah remaja di Sabah pula sudah menerima vaksin lengkap setakat kelmarin.

"Laporan vaksinasi harian Covid-19 semalam (kelmarin) pula merekodkan seramai 41,979 orang menerima vaksin, iaitu 15,003 penduduk dewasa, manakala seramai 26,976 orang adalah remaja," katanya.

Sabah disasar mencapai imuniti kelompok vaksin Covid-19 atau 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin pada awal bulan depan.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah mencatat 707 kes baharu Covid-19 semalam, meningkat sebanyak 175 kes berbanding 532 kes yang dilaporkan kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 8:07 AM