Idris Ahmad
Idris Ahmad
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Tiada sekolah tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar diarah tutup oleh mana-mana pihak berkuasa agama Kerajaan Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad berkata, penutupan institusi tahfiz swasta berdaftar adalah hanya bersifat sementara bagi mematuhi arahan Kerajaan supaya rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

Katanya, berdasarkan maklumat yang disahkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri, memang tiada institusi yang berkenaan ditutup.

"Namun, tidak dinafikan terdapat institusi yang berhadapan dengan kemerosotan sumber kewangan impak pandemik ini," katanya menjawab soalan lisan Datuk Amirrudin Hamzah (PEJUANG-Kubang Pasu), di Dewan Rakyat di sini, tadi.

Idris menjelaskan untuk membantu sekolah tahfiz dan pondok ini, kerajaan sekali lagi menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta dengan bayaran sekali bayar bagi tujuan selenggara dan naik taraf Institusi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) merangkumi Sekolah Agama, institusi tahfiz dan pondok.

"Sehingga Ogos lalu sebanyak RM60 juta sudah disalurkan kepada 1,066 institusi yang layak dan daripada jumlah itu sebanyak RM22.2 juta sudah disalurkan kepada 413 buah institusi tahfiz di seluruh negara.

"Baki RM40 juta diterima pada 4 Oktober lalu bagi tujuan yang sama dan juga bagi tujuan kos pengurusan dan pengoperasian institusi berkenaan, yang sedang diurus untuk diagihkan secepat mungkin," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Nawawi (PAS-Tumpat) usaha mendapatkan mengenai bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat besar membantu institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar, katanya perkara itu adalah antara 32 inisiatif dalam 20 strategi dilaksanakan kerajaan membantu instiitusi pengajian dan sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:03 PM