Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan akan meneruskan cadangan bagi menyerap guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) kepada jawatan tetap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, sebahagian kertas kerja berkenaan cadangan itu sudahpun disiapkan sebelum proses menyerap masuk guru berkenaan.

"Perkara itu membabitkan soal penggajian, pencen dan juga memerlukan proses pentadbiran. Saya baru sahaja bermesyuarat dengan pihak (Jakim) dan Kementerian Pendidikan. Proses itu sudah dibuat sebahagian cuma hendak berbincang," katanya pada sidang media selepas hadir menyerahkan sumbangan bagi Program Inspirasiku MyHAUS kepada keluarga Azidi Sudin, 53, di rumahnya di Kampung Sri Aman Menglembu, di sini, hari ini.

Menurutnya, cadangan itu sememangnya akan diteruskan meskipun kerajaan bertukar tangan dan pemimpin.

Katanya, perkara itu kini berada di peringkat penyelarasan daripada pelbagai aspek.

"Masalahnya ada sesetengah negeri melaksanakan Kafa ini tiga hari seminggu sahaja, sesetengah negeri pula lima hari.

"Kita hanya boleh menyelaraskan dan mencadangkan sahaja, pelaksanaannya adalah di pihak Majlis Agama Islam Negeri atau di pihak Jabatan Agama Islam Negeri.

"Jadi, apabila sudah berlaku penyelarasan, sokongan dan sebagainya, barulah kita boleh bawa ke arah untuk berbincang dari segi waktu mengajar dan sebagainya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan merancang untuk melaksanakan Model Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Perdana.

Memetik laporan itu, menerusi model Kafa Perdana itu, guru Kafa akan diberikan jawatan tetap dan akan dibayar elaun setaraf dengan DG29.

Sementara itu, Idris berkata, isu maahad tahfiz yang tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal ditangani dengan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi membantu kos pengoperasiannya.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan baki daripada peruntukan bagi tujuan prasarana dan infrastruktur, sehingga kini RM60 juta sudah diagihkan kepada institusi yang memerlukan.

"Kos operasi tidak timbul setakat ini. Terdapat RM40 juta lagi untuk digunakan bagi prasarana dan infrastruktur, tetapi oleh kerana perundingan saya dengan Menteri Kewangan, kita minta tukarkan kepada agihan untuk operasi jadi boleh kita beri sedikit sebanyak lebihan peruntukan ini.

"Yang kedua ia juga diluluskan hanya untuk maahad tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar, tetapi kita cuba bagi walaupun tidak berdaftar dengan harapan mereka akan berdaftar untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Tambahnya, tiada laporan penutupan maahad tahfiz setakat ini, malah ia akan beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:00 PM