GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Orang pengawasan polis (OPP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan rompak dan mencederakan warga emas pada 31 Oktober lalu.

Tertuduh, Razzlee Nasip, 33, dari Bandar Seri Jempol mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia pada jam 11.20 pagi di tepi Jalan Ayer Hitam - Pasoh, Kampung Cina Ayer Hitam melakukan rompak dengan melarikan motosikal jenis Honda EX5 milik seorang warga emas.

Tertuduh juga dengan sengaja menyebabkan kecederaan warga emas terbabit dengan menumbuk pipi kiri mangsa.

Berikutan itu dia dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun selain hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Norma menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda RM3,000 atau penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh merompak motosikal milik warga emas yang diletakkan di kebun.

Mangsa yang menyedari kehilangan motosikalnya itu mencari sehingga ke jalan besar dan melihat tertuduh menolak motosikal berkenaan.

Mangsa cuba menghalang namun ditumbuk oleh tertuduh sehingga terjatuh sebelum tertuduh melarikan motosikal berkenaan.

Tertuduh ditangkap oleh polis di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor pada 11 November lalu pada jam 6.30 petang.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 1:24 PM