Mohd Aleef Yusof
Mohd Aleef Yusof
Hassan Omar


Melaka: Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Dr Mohd Aleef Yusof yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Udang, belum pasti sama ada mampu melangkah ke pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) Sungai Udang atau sebaliknya.

Ini kerana, hanya beliau dan calon PN-Bersatu kerusi Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, manakala 26 lagi calon parti itu gagal mendapat tempat.

Dr Mohd Aleef, 35, berkata setakat ini belum ada sesiapa, sama ada daripada kerajaan negeri atau pemimpin Bersatu yang memberi penjelasan kepadanya mengenai kedudukan beliau dan Dr Mohd Yadzil dalam kerajaan negeri.

"Barisan Nasional (BN) menang lebih dua pertiga Dun dan kemungkinan besar tidak memerlukan Adun daripada PN untuk berada dalam kerajaan.

"Walaupun keadaan di peringkat Persekutuan, BN dan PN sama-sama membentuk kerajaan, tetapi di peringkat negeri keadaannya berbeza dan setakat ini kami belum tahu macam mana nasib kami," katanya ketika dihubungi di Sungai Udang, hari ini.

Beliau berkata, jika tidak dibenarkan memasuki Japerun itu, beliau bersedia membuka pejabat sendiri di pekan Sungai Udang bagi memberikan perkhidmatan kepada anggota komuniti.

Pada PRN Sabtu lalu, Dr Mohd Aleef memperoleh 6,789 undi dan menewaskan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada BN yang memperoleh 6,259 undi; Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan-PKR) yang mendapat 2,035 undi dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) yang memperoleh 471 undi.

Berbekalkan majoriti 530 undi, Dr Aleef membuat kejutan menewaskan Mohamad Ali iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu.

Dr Mohd Yadzil memperoleh 4,211 undi dan menewaskan Datuk Koh Chin Han (BN) yang memperoleh 3,883 undi dan Datuk Tey Kok Kiew (PH-DAP) 3,095 undi, selain dua calon Bebas yang hilang deposit.

Ketika PH mentadbir Melaka dari Mei 2018 hingga Februari 2020, Japerun yang dimenangi Adun BN diletakkan mengikut pentadbiran Penyelaras Dun dilantik PH.

Selepas kerajaan negeri diambil alih BN dari Mac 2020 hingga 4 Oktober lalu, Japerun dimenangi Adun PH pula diletakkan mengikut pentadbiran Penyelaras Dun dilantik BN.

Dr Aleef berkata, beliau bersyukur berjaya menewaskan Mohamad Ali di kerusi berkenaan kerana tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang.

"Beliau (Mohamad Ali) adalah Ketua Umno Bahagian Tangga Batu yang dikenali ramai berbanding saya yang masih terlalu mentah dalam politik, tetapi pengundi sudah membuat pilihan.

"Saya akan membalas kepercayaan mereka dengan memberikan perkhidmatan terbaik," katanya yang bertugas di hospital swasta di Bandar Melaka sebelum menjadi calon PN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 8:32 PM