Dr Mohd Yadzil menegaskan pembangkang menolak pelawaan ketua menteri untuk sertai kerajaan perpaduan dan kekal berada di blok pembangkang. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Dr Mohd Yadzil menegaskan pembangkang menolak pelawaan ketua menteri untuk sertai kerajaan perpaduan dan kekal berada di blok pembangkang. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menempelak pelantikan 11 timbalan Exco dalam kerajaan Melaka semalam, yang disifatkan satu pembaziran wang rakyat.

Ketuanya, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, pelantikan itu sudah pasti membabitkan perbelanjaan tambahan yang sepatutnya boleh disalurkan untuk agenda rakyat.

Menurutnya, peruntukan kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) iaitu beliau sendiri di DUN Bemban dan Dr Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang) lebih adil kepada rakyat berbanding perlantikan timbalan Exco berikutan Melaka adalah negeri kecil.

"Keputusan ini menggambarkan kerajaan Negeri Melaka yang terbentuk lebih mengutamakan keselesaan ADUN dalam blok kerajaan berbanding membawa agenda rakyat," katanya tadi.

Dr Yadzil berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang 'mempelawa' dirinya dan Dr Mohd Aleef menyertai kerajaan perpaduan menjelang Persidangan DUN pada Jun depan.

Dr Yadzil yang juga Pengerusi PN Melaka berkata, menegaskan beliau dan Dr Mohd Aleef akan kekal berada di blok pembangkang dalam memastikan semak dan imbang berkesan kepada kerajaan Melaka.

"Bukan soal macam mana kami nak lawan tapi janganlah takut kepada kami. Pembangkang hanya kami berdua.

"Kami kekal dengan prinsip akan menjadi pembangkang yang berwibawa. Menjadi 'check and balance' kepada kerajaan Melaka serta akan mendengar suara hati rakyat dan memperjuangkan denyut nadi mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Yadzil turut melontarkan beberapa persoalan termasuk keberkesanan 21 anggota Exco dalam menjana hasil berlipat ganda.

"Persoalan besar sekarang apakah kerajaan Melaka akan lebih efisien dengan 21 orang dalam barisan Exco? Apakah Kerajaan mampu menjana hasil berlipat kali ganda dengan barisan Exco dan timbalan Exco yang ramai?

"Apakah ketua menteri terpaksa melantik barisan Exco yang besar ini kerana gabungan kerajaan Madani di Melaka yang terbentuk tidak stabil?," katanya lagi.

Kelmarin Ab Rauf dilapor berkata, pihaknya menyasarkan kerajaan negeri pimpinannya sifar pembangkang menjelang pembentangan Enakmen Anti Lompat Parti di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 3:24 PM