GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Alor Setar: Sejumlah 251,012 murid dan pelajar dari 752 sekolah rendah dan menengah di Kedah hari ini memulakan hari pertama persekolahan secara bersemuka dengan penggiliran selepas negeri ini beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarah Pendidikan Kedah Rozaini Ahmad berkata daripada jumlah itu, seramai 154,214 murid adalah tahun satu hingga enam manakala 96,798 orang lagi merupakan pelajar sekolah menengah membabitkan kelas peralihan serta tingkatan satu hingga empat.

"Untuk sekolah rendah yang beroperasi hari ini ialah sebanyak 548 dan sekolah menengah yang beroperasi hari ini pula adalah sebanyak 204 dengan menjadikan keseluruhan sekolah ialah 752 sekolah beroperasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengoperasian institusi pendidikan yang berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Kedah, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Sabah mengikut ketetapan pengoperasian fasa empat PPN itu akan bermula hari ini dan esok.

Pengoperasian sekolah itu, di Kedah bermula hari ini manakala Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah pula bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 3:29 PM