Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengambil inisiatif mengadakan kempen keselamatan kebakaran dan penggunaan alat pemadam api di bazar Ramadan di negeri ini.

Pengarahnya Jainal @ Zainal Madasin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tiada kebakaran atau insiden tidak diingini berlaku di bazar Ramadan kerana kini menjadi lokasi tumpuan ramai.

Katanya, kempen berkenaan memberi fokus kepada lokasi bazar yang membenarkan aktiviti memasak atau membakar kerana terdedah kepada bahaya api.

"Malah, pegawai dan anggota di setiap jajahan juga diarahkan untuk mendekati peniaga bagi mengedarkan risalah keselamatan selain memberi nasihat langkah yang perlu diambil jika berlaku kebakaran.

"JBPM Kelantan juga turun padang menyampaikan beberapa alat pemadam api kepada pengurusan tapak bazar terpilih untuk kegunaan kecemasan sebelum ketibaan pihak bomba," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampai dua unit alat pemadam api kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan di bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Zainal berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan membabitkan kebakaran di bazar Ramadan sekali gus membuktikan kepekaan peniaga terhadap keselamatan.

"Selain perlu berhati-hati dengan penggunaan gas serta dapur di lokasi jualan, aliran arus elektrik juga perlu diambil perhatian kerana ia boleh menjadi penyebab berlaku perkara tidak diingini.

"Dalam kita gembira berniaga, aspek keselamatan turut perlu diutamakan supaya kemeriahan bazar Ramadan dapat diteruskan," katanya.

Jainal@Zainal Madasin (dua kiri) diiringi oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad (dua kanan) mengedar risalah keselamatan kebakaran kepada sebahagian peniaga bazar ketika hadir  di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Jainal@Zainal Madasin (dua kiri) diiringi oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad (dua kanan) mengedar risalah keselamatan kebakaran kepada sebahagian peniaga bazar ketika hadir di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 5:44 PM