PROF Madya Dr Michael Ling King.
PROF Madya Dr Michael Ling King.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Michael Ling King Hwa menjadi penyelidik pertama yang merangkul dua anugerah serentak apabila menerima anugerah International Brain Research Organisation (IBRO) Return Home Felllowship 2021 dan International Society for Neurochemistry Retum Home Grant Award 2021.

Ia diberikan bersama geran peruntukan kepada mereka yang terpilih selepas melalui latihan pasca doktoral dari negara maju seperti Harvard Medical School, Harvard University, Amerika Syarikat dan pulang ke negara asal untuk menjalankan kajian dan penyelidikan.

Dalam satu kenyataan, UPM berkata, penyelidik itu menjalani latihan pasca doktoral di Harvard Medical School dari 2016 hingga 2018 dan dipinjamkan dari 2018 hingga 2020 yang melayakkannya memohon 'fellowship' dan geran itu dengan sokongan UPM selepas pulang ke tanah air awal tahun ini.

IBRO Return Home Felllowship itu memperuntukkan geran sebanyak EUR20,000 (kira-kira RM95,000) manakala Intenational Society for Neurochemistry Return Home Grant Award memperuntukkan geran sebanyak AS$10,000 (kira-kira RM41,600).

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakuiti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM akan menjalankan penyelidikan preliminari berkaitan penyakit otak selain penyelidikan organoid otak berkaitan penyakit Syndrom Down dengan menggunakan organoid serebrum.

Menurutnya, penyelidikannya membabitkan pertumbuhan organ di luar badan menggunakan sel stem pesakit.

"Sel stem pesakit diambil dan ditumbuhkan menjadi organoid," katanya.

Menurutnya, penggunaan sel stem pesakit akan menghasilkan pemerhatian mekanisme penyakit yang lebih tepat berbanding penggunaan model haiwan di dalam penyelidikan.

Selain itu, katanya, penyelidikan melalui model sistem organoid itu akan membolehkan kejadian dan proses penyakit diketahui kerana ia menggunakan sel daripada pesakit sendiri seterusnya boleh dibuat perbandingan dengan orang yang sihat.

"Justeru, kita boleh mencari mekanisme penyakit untuk tujuan rawatan seperti membangunkan kaedah rawatan dan ubat yang berkaitan.

"Model sistem organoid ini membolehkan kita belajar mengenai penyakit secara menyeluruh, ia umpama susun suai gambar di mana kita boleh bina organoid untuk organ beriainan seperti otak, saraf tunjang dan otot.

"Ketiga-tiganya boleh digabungkan sebagai organoid sistemik dan kita boleh belajar kesan penyakit secara keseluruhan dan bukannya berpandukan kepada sesebuah organ atau sekelompok sel yang tertentu sahaja. Inilah arah tuju pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, selama ini banyak penyelidikan menggunakan model haiwan hidup iaitu tikus, tetapi oleh kerana ia bukan manusia, maka pemerhatian daripada model haiwan tidak boleh diterjemah terus kepada manusia.

"Sekarang kita mengkaji organoid yang ditumbuhkan daripada sel stem manusia, jadi ia relevan kepada biologi manusia dan lebih tepat. Untuk masa depan, ia boleh menggantikan penggunaan model-model haiwan dalam penyelidikan," katanya.

Menurutnya, selain Syndrom Down, penyakit berkaitan otak yang dapat dikaji melalui organoid otak turut merangkumi nyanyuk, dementia, skizofrenia, halusinasi, kecelaruan bipolar dan kemurungan.

"Syndrom Down membawa kecacatan intelektual. Jadi, untuk mengetahui proses perkembangan otak, kita guna sistem organoid untuk mengetahui apa yang menjuruskan kepada kecacatan intelektual itu," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan akan memberi bantuan kewangan untuk bidang penyelidikan itu agar lebih ramai penyelidik menerokai bidang berkenaan sejajar dengan perkembangan teknologi untuk setanding dengan negara maju.s

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 3:47 PM