CALON BN N 27 Merlimau, Dr Muhammad Akmal. FOTO Asyraf Hamzah
CALON BN N 27 Merlimau, Dr Muhammad Akmal. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Mohamad Akmal Salleh, optimis meneruskan kerja sukarelawannya dengan memberi rawatan kepada penduduk sekitar yang uzur jika diberi tanggungjawab sebagai wakil rakyat selepas ini.

Menganggap perkara itu sudah menjadi sebahagian rutinnya sejak dulu, anak muda berusia 33 tahun ini tidak berasakan menjadi wakil rakyat sebagai satu keistimewaan, sebaliknya menggalas amanah besar terutama bagi pendatang baharu sepertinya.

Mengetengahkan slogan 'Anak Kampung Untuk Orang Kampung', beliau menganggap pengalaman sebagai doktor perubatan, selain mempunyai klinik sendiri di Pekan Merlimau, di sini, menjadikannya tidak kekok mendampingi penduduk setempat.

"Memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan adalah rutin harian saya sejak dulu lagi, bukannya bila tiba musim pilihan raya.

"Saya faham ada dalam kalangan kita memandang negatif ketika saya ke 'house call' untuk merawat Mak Cik Zaiton (warga emas yang memerlukan rawatan perubatan), tetapi bagi saya tanggungjawab merawat pesakit melebihi segala-galanya," kata graduan lulusan Ijazah Perubatan dari Russian State Medical University ini.

Katanya, dia juga sudah lama terbabit dalam kerja sukarelawan bersama parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), selain pernah menyertai misi mengendalikan mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17 di Ukraine pada 2014 kerana berkebolehan bertutur dalam bahasa Russia.

"Selain meneruskan khidmat sukarelawan selepas ini, saya meletakkan harapan mahu melihat ekonomi di Merlimau dapat dibangunkan serta menjadi antara lokasi tarikan utama pelancong.

"Jika dipilih sebagai Yang Berkhidmat, saya mahu perhebatkan sektor pelancongan di kawasan ini antaranya mewujudkan pasar terapung atau 'floating market' di Jeti Sungai Merlimau," katanya.

Mohamad Akmal juga mengakui isu bekalan air antara masalah yang dihadapi penduduk di DUN berkenaan.

"Saya dapat banyak aduan berkaitan masalah bekalan air dan sudah pergi ke loji Merlimau untuk mendapatkan penjelasan mengenai perancangan terbaru daripada pihak yang terbabit.

"Masalah air akan menjadi satu komitmen saya sekiranya dipilih sebagai Yang Berkhidmat, sebab apa, bukan saja ini masalah saya tetapi juga penduduk di sini.

"Kita sudah dapat penjelasan dan saya beri komitmen isu air akan diselesaikan sebaik mungkin," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Mohamad Akmal dicabar Abd Alim Shapie daripada Perikatan Nasional (PN) dan Azrin Ab Majid (Pakatan Harapan).

DUN Merlimau mempunyai seramai 14,014 pengundi.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 11:15 AM