Isma Ismail dan Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan barisan kabinetnya merangkumi 31 menteri dan 38 timbalan menteri serta buat kali keduanya dalam sejarah tidak menamakan timbalan perdana menteri.

Ismail Sabri sebaliknya mengumumkan hampir 80 peratus menteri lama dalam kerajaan terdahulu termasuk empat menteri kanan.

Antara yang dikekalkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Pengumuman jemaah menteri itu dibuat oleh Perdana Menteri di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Barisan Kabinet yang dibentuk hari ini adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

"Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

"Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya, justeru, pembentukan Kabinet ini adalah satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya," katanya.

Menurutnya, mengakui negara sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara.

"Berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita akan hidup bersama Covid-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

"Dunia mencatatkan kemunculan Variant of Concern (VOC) yang lebih agresif dan rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid- 19.

"Oleh itu, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini. Kita perlu terus mengawal segala risiko Covid-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian," katanya.

Ismail Sabri turut dilihat mengambil pendekatan berbeza dalam mengekang pandemik apabila melantik Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang bertukar portfolio dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Selain itu, antara muka baharu dalam barisan kabinet iaitu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu, serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan

Selain itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kekal dilantik sebagai Menteri Kewangan, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Alam Sekitar), Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan yang sebelum ini bertanggung jawab hal Parlimen dan Undang-undang ditukar ke Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Ismail Sabri berkata, bagi memenuhi keperluan semasa, beberapa kementerian dikekalkan semula antaranya Kementerian Pengajian Tinggi, dan Kementerian Perpaduan Negara.

Kementerian Pengajian Tinggi diterajui Datuk Dr Noraini Ahmad manakala Datuk Halimah Mohamed Sadique dilantik Menteri Perpaduan Negara dan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Ismail Sabri turut memperkukuhkan barisan kabinetnya dengan kehadiran bekas-bekas menteri termasuk Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri Wilayah Persekutuan) dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Antara yang bertukar portfolio baru daripada kementerian lama adalah Datuk Dr Zuraidah Kamaruddin (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Komunikasi Dan Multimedia) dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Berita berkaitan:

ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 11:32 AM