Mohd Roji Kawi


Kuching: Perkahwinan membabitkan pasangan muda antara penyumbang kepada peningkatan kes perceraian di Sarawak, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, sebahagian besar pasangan terbabit belum bersedia untuk bergelar suami isteri namun terpaksa berkahwin kerana didorong beberapa faktor termasuk terlanjur.

Katanya, kedudukan kewangan yang belum stabil juga menyebabkan rumah tangga bermasalah.

Fatimah Abdullah. FOTO NADIM BOKHARI
Fatimah Abdullah. FOTO NADIM BOKHARI

"Dalam kebanyakan kes, pasangan itu sebenarnya belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga tetapi mereka tidak berfikir panjang sebelum ambil keputusan untuk berkahwin.

"Ini yang berlaku sehingga banyak kes perceraian membabitkan pasangan yang masih muda. Mereka juga gagal mengawal tekanan dalam hidup berumah tangga dan apabila marah, mereka mudah melafazkan cerai (bagi pasangan Islam)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di Wisma Wanita, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memberitahu Dewan Rakyat bahawa 5,658 kes perceraian direkodkan di Sarawak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 2020 hingga September lalu.

Beliau dipetik menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) dan menjelaskan 3,582 kes membabitkan pasangan Islam dan 2,076 kes adalah pasangan bukan Islam.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pihaknya bersama agensi Persekutuan sentiasa memantau isu perceraian dan keganasan rumah tangga sepanjang masa dan tidak terhad kepada tempoh PKP sahaja.

"Selain itu, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak juga melaksanakan satu program khusus bagi membantu memantapkan institusi keluarga dengan menganjurkan kursus perkahwinan untuk pasangan yang sudah berkahwin.

"Menerusi kursus itu, banyak yang diterapkan antaranya meningkatkan kemahiran komunikasi antara pasangan itu dan memberi tips bagaimana mereka boleh kekal lama dalam rumah tangga," katanya yang memaklumkan mesyuarat hari ini turut memfokus kepada isu perceraian dan bersetuju menyediakan bantuan guaman untuk membantu pasangan bermasalah.

Sementara itu, Fatimah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan ada menyebut nama wakil rakyat tertentu yang mahu berundur daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri ke-12, pada majlis di Serian, semalam.

"Saya tidak pernah menyebut seperti apa yang sudah menjadi viral itu dan pembantu saya ada menyimpan rakaman ucapan serta temubual media saya pada majlis berkenaan.

"Memang saya ada menyebut bahawa ada wakil rakyat GPS yang sudah memaklumkan untuk berundur atas sebab kesihatan, tetapi saya tidak menyebut nama-nama mereka seperti yang disebarkan di media sosial itu," katanya yang kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang menyebarkan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 5:35 PM